Suara Pakatan Rakyat

DALAM beberapa hari selepas Perdana Menteri Najib Razak memberi perutusan “perubahan” sempena sambutan Hari Malaysia ke-48

 


Suara Pakatan Rakyat

DALAM beberapa hari selepas Perdana Menteri Najib Razak memberi perutusan “perubahan” sempena sambutan Hari Malaysia ke-48 baru-baru ini, pelbagai pandangan dan ulasan terutamanya daripada pemimpin politik baik daripada Barisan Nasional ataupun Pakatan Rakyat memberi perspektif kepada kelangsungan demokrasi negara ini.

Sebagaimana yang dijangka, kata-kata memuji diberikan oleh pemimpin BN.  Kata mereka, tindakan Najib berani dan tabah sekali.  Sementara itu, pemimpin Pakatan-ramai di antara mereka yang pernah menjadi mangsa kezaliman rejim BN – pula mengambil pendirian berwaspada dan sekali lagi menuntut supaya Pilihanraya Umum ke-13 tidak dipanggil sebelum janji-janji Najib dikotakan.

Sesungguhnya, perubahan yang dibawa Najib kini terhad kepada kandungan perutusannya pada malam 15 September 2011.  Kata-kata manis kalau tidak dikotakan, lama-lama jadi basi juga.  Buat masa ini, pengumuman yang dibuat dalam ucapan tersebut tidak membawa sebarang kesan selain memberi peluang kepada kakitangan Najib terus berusaha demi agenda penjenamaannya.

Setiap hari, rakyat pasti terbaca, terlihat, atau terdengar khabar mengenai cubaan-cubaan “Bapa Transformasi” membawa perubahan.  Setiap masa juga, kita dipujuk supaya jangan bimbang, sebab keselamatan negara dan ketenteraman awam masih terjamin di bawah jagaan kerajaan BN. Maka, pasca perutusan “perubahan” Perdana Menteri, ke mana hala tuju BN?  Lebih-lebih lagi, ke mana hala tuju demokrasi Malaysia?  Apakah dengan kuasa ajaib yang terkandung dalam janji-janji Najib, kita akan melihat suatu peralihan ideologi dalam kalangan mereka yang sudah biasa dengan pemerintahan yang berteraskan penindasan, kerahsiaan, dan keangkuhan?  Apakah dengan tiba-tiba, BN akan menemui suatu kesedaran demokratik yang baru?  Apakah kita akan melihat inersia melawan pertukaran arus yang datang secara mengejut?

Daripada respons Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein dan Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz, saya bilang ramai yang akan kecewa sekiranya mereka menabur harapan terhadap janji-janji perubahan Najib.  Bagi mereka yang sudah berpuluh tahun melawan ketidakadilan dan memperjuangkan kebebasan, tiada sebarang isyarat yang menunjukkan pihak lawan sudah bersedia berubah.  Di atas jalan menuntut demokrasi, sifat semulajadi rejim yang tamakkan kuasa perlu dianggap sebagai suatu pemalar.  Yang pasti, satu ucapan sepanjang 2,433 patah perkataan oleh ketua rejim tidak mungkin bertindak sebagai pembolehubah ataupun pemangkin yang cukup kuat untuk menghapuskan kekangan-kekangan sedia ada. Hal ini dikatakan demikian kerana, rejim ini sudah biasa mengekalkan kuasa melalui amalan-amalan kurang demokratik.  Kekangan ke atas kebebasan sivil dan hak-hak asasi berlaku bukan kerana tiadanya seorang Perdana Menteri yang inginkan perubahan tetapi akibat keperluan suatu

rejim meneruskan kekuasaan hegemoninya.  Maka, untuk perubahan demokratik berlaku, operasinya perlu dilahirkan daripada gerakan rakyat yang organik.  Hala tujunya perlu ditentukan rakyat dan bukan 2,433 patah perkataan seorang pemerintah.

Jelas, Najib tidak memberi sebarang kredit kepada pejuang demokrasi dalam ucapannya.  Baginya, mereka yang melawan kerajaannya dan partinya bukan kawan.  “Kami dengar Suara Rakyat!  Kami mohon Maaf!  Kami mahu Ubah!” tidak ada dalam frasa-frasa perutusannya.  Sebaliknya, janjinya untuk memansuhkan akta-akta zalim seolah-olah diilhami dirinya.  Tidak dinafikan, ada kemungkinan idea ini hasil daripada perbualan dengan isteri tersayang dalam kamar tidur.  Namun, kekurangan konteks dalam cadangan Najib untuk membawa perubahan cukup untuk kita mengukur sejauh mana beliau ikhlas dalam perjuangan demokrasi Malaysia. Kini, komen-komen Muhyiddin, Hishammuddin, dan Nazri memberi konteks.  Sejurus selepas ucapan Najib, Muhyiddin minta supaya kata-kata Najib jangan dipertikai.  Pastinya, sebarang keraguan yang mungkin wujud sudah dihilangkan kerana menurut Muhyiddin dalam laporan Utusan Malaysia bertarikh 19 September 2011, “mansuh ISA tidak bermakna boleh bebas”.  Hishammuddin pula dalam laporan hari ini

berkata akta-akta baru yang digubal bagi menggantikan ISA akan digunakan untuk memastikan setiap ahli politik mempunyai batas dalam berpolitik bagi memastikan perkara sensitif yang menyentuh aspek patriotisme, agama dan kaum tidak digadaikan. Dalam perkembangan lain, Nazri Aziz sebagai menteri yang menyelia hal ehwal Parlimen pula berkeras mahu Jawatankuasa Terpilih Parlimen untuk mengkaji reformasi sistem pilihanraya diteruskan walaupun tanpa penyertaan Pakatan Rakyat. Katanya, “tu adalah ehsan kerajaan.  Kita punyai majoriti, (maka) atas ehsan kitalah.  Kita baik, kita bagilah mereka tiga.  Itu sahaja… bukan hak mereka pun.”

Semua komen tersebut dibuat pasca perutusan “perubahan” Najib.  Nada Menteri-menteri dalam Kabinet Najib langsung tidak mencerminkan sebarang komitmen terhadap pendemokrasian negara ini.  Pelbagai prasyarat yang diletakkan atas janji Najib mencemarkan lagi perutusan perubahannya.  Nampaknya, Barisan tidak akan menerima keadaan di mana kekuasaan mereka boleh dicabar.  Sesungguhnya, bolehkah kita mendakwa diri memiliki demokrasi yang terbaik di dunia tanpa pernah berlakunya pertukaran kerajaan? Ideologi “kita demokratik, jangan berani kau persoalkan!” terus menjadi jurang antara Barisan dengan demokrasi.  Rakyat ada yang mungkin sudah biasa dengan sifat “cakap tak serupa bikin” pemerintah dan menerima perkara ini sebagai hakikat demokrasi Malaysia.  Tetapi, untuk Malaysia mengambil langkah ke depan, rakyat perlu bangkit mencabar pengaturan ini.  Rakyat perlu beranikan diri dan menuntut kembali hak-hak mereka yang dizalimi selama ini.  Justeru, proses ini tidak berubah hanya dengan sebuah perutusan.

Sebuah perutusan tidak mengembalikan kuasa rakyat.  Janji manis tidak menjamin kebebasan rakyat.  2,433 patah perkataan tidak akan membebaskan media.  Penggantian ISA tidak akan memulangkan keadilan kepada tahanan yang tidak pernah dibicarakan.  Demokrasi yang diucapkan tidak akan kesampaian kerana Najib dan Barisan Nasional tidak akan bertukar haluan.

Artikel Berkaitan:

  • Enggan Beri Suara Keadilan Permit, Bukti Najib Tidak Ikhlas
  • Enggan Beri Suara Keadilan Permit, Bukti Najib Tidak Ikhlas
  • Jadikan Hari Malaysia Medan Muhasabah Penipuan Pilihanraya
  • Jadikan Hari Malaysia Medan Muhasabah Penipuan Pilihanraya
  • DAP Banyak Berjasa Kepada Pas
  • Posting Komentar